Kehadapan Aku : Dikala meniti ranjau hidup



Kehadapan Aku, diriku sendiri,

Wahai dikau, 


Jika kau masih bernyawa. Ingatkah kamu untuk wadah yang ditulis olehmu untuk dirimu sendiri sebagai perkhabaran di sebuah masa hadapan? Tariklah nafas, bertenanglah. Jika ada yang kamu akan hargai seketika kamu meningkat dewasa meniti sebuah ketidakpastian, ingatlah, kamu adalah seorang insan yang baik hati, walaupun kenaifan kamu akan membawa banyak masalah di kala kamu berjuang untuk mencapai sebuah kejayaan.

Berkemungkinan tiada siapa diantara rakan terdekat mu akan memahami segala keperitan dan kepayahan dirimu yang menanggung penyakit kronik seperti jantung berlubang dan lembam sejak dilahirkan. Tetapi, kamu mencuba mengerah keringat sebaik mungkin untuk dipandang setaraf dengan rakan handai mu yang lain.

Untuk beberapa cebis memori hidup ini, kamu berjaya membuktikannya. Berbanggalah kamu dengannya walaupun suatu hari nanti, kamu akan bermula semula daripada bawah. Tiada siapa diantara mereka, yang sinis dan mengatakan kamu adalah gagal selamanya mampu merampas kejayaan itu daripadamu.

Wahai Aku,

Kelibat ketika kau mencoret suratan ini buatmu sendiri di masa hadapan, kamu masih lagi tercari-cari arah, meniti masa depanmu yang tidak keruan. Ianya sudah cukup membuatkan mu gusar dan gundah gulana, memikirkan apa yang akan menjadi rintangan seterusnya dihadapan. Liku hidup dan kesusahan serta jatuh dan turun naiknya bakal membuatkan kamu hilang empati, mungkin akan menjadikan kamu hancur luluh untuk menggapai harapan untuk terus hidup. 


Tetapi, percayalah, kamu pernah mengharungi segala kejerihan tersebut diatas dua kaki mu sendiri, dan melangkah gagah menuju sebuah cita-cita yang telah sekian lama ditanam di dirimu itu. Kamu adalah seorang yang tak cepat mengaku kalah, walau tiba di sebuah badai ombak yang memukulmu hingga kamu gagal dalam pelayaranmu menuju matlamat yang semakin samar. Langit gelap malap yang melanda tidak akan berlarutan selamanya. Lambat laun di tengah lautan yang tidak berkompas, akan terbitnya matahari menerangi mukamu, dengan tautan cahaya sehangat cita-citamu yang masih cekal membara dihati.

Jangan cepat mengaku kalah. Bertabahlah.

Wahai dikau di kala meniti umur matangkali,

Kamu mungkin akan merenung dihadapan cermin, dan menatap dirimu untuk melihat garisan serta rautan di wajahmu. Kamu mungkin akan gusar tatkala umurmu meningkat, adakah peluang untuk kamu mencari cinta dan dicintai masih lagi terbuka. Kamu dibesarkan dalam keadaan yang penuh dengan ketidakupayaan untuk berdiri sendiri, dan fizikal kamu yang tidak seperti apa yang kamu impikan acapkali menyebabkan kamu terasa tidak bermaya dan yakin untuk kamu membuka lembaran cinta sebagai sebuah jalan cerita hidupmu.

Benar kata mereka, muda itu hanya sekali. Tetapi percayalah, saat yang kamu nantikan itu hanya akan terbuka kemudian ketika kamu mula mengorak langkah ke arah pertengahan sisa hidupmu. Kamu mungkin tidak mempunyai tuah didalam takdir sebuah cinta, tetapi kamu akan melalui sebuah liku pengembaraan yang akan membuatkanmu bersyukur, kerana ianya seperti lebih baik daripada sekadar mendambakan sebuah perasaan terhadap seseorang begitu saja. Moga ketikamana kamu meniti usia di pertengahan umurmu, pengembaraan untuk menyingkap aspek cinta di dalam dirimu juga akan bertambah manisnya, sebagaimana yang kau sedang lalui kini.

Jangan bersedih. Kerana haluan setiap insan itu berbeza. Kau adalah yang istimewa.

Buatmu yang juga diriku,

Pertalian keluarga tetaplah kepentingan buat dirimu. Kamu mungkin sudah putus asa dengan adik beradikmu yang tidak mahu menerima pendirianmu, tetapi didalam hati ini, katakanlah, bahawa kamu tak pernah sekalipun berputus asa terhadap mereka semua. Sama seperti kedua ibu bapaku yang membawamu kedunia ini, dikala mereka mengerah keringat sebagaimana kamu kini, cuba mencari rezeki dan membesarkan kamu untuk merasai pengalaman natijah naluri keibubapaan mereka sendiri. Untuk segala pertelagahan yang memutuskan perhubungan keluarga diantara kamu dan mereka, bertenanglah, kerana mungkin suatu hari nanti, mereka akan jelas dengan pendirianmu dan kamu akan disatukan semula sebagaimana mungkin mereka juga berharap akan kesudahan yang sama terjadi pada pihak mereka dengan kamu.

Sentiasa sayang pada mereka semua. Kerana, mereka adalah sebahagian daripada dirimu sendiri.

Untuk penutup coretan ini,

Hidup ini bukan selamanya. Intipati dalam karangan buku hidup seseorang adalah pelbagai. Emosi adalah suatu lumrah yang harus dilalui semua insan, termasuklah kamu. Kadangkala kamu terasa kongkongan, depresi, kekecewaan dan kecelaruan bermain di minda. Keseronakan dan kegembiraan mungkin suatu kemewahan yang sukar kamu kecapi. Tetapi untuk sebuah kehidupan yang hanya sekali ini, kamu akan melangkah melepasi segalanya, dan berjanjilah kepada coretan ini bahawa setiap hari yang berlalu dan setiap saat yang melepasimu, akan kamu tabah dan cekal untuk terus hidup hingga ke hari senja nanti.

Mungkin ada sesalan di dalam hatimu. Mungkin sekali kamu tidak dapat mengarang sebuah lagi surat untukmu dimasa depan nanti. Mungkin kamu akan berjaya melepasi segala onak berduri yang sentiasa melukakan hatimu. Kamu mungkin berkeluarga, dan menjadi ayah kepada seseorang. Kamu mungkin akan membanggakan kedua ibu bapamu, walau mereka mungkin bersamamu atau sudah menjadi secebis memori di liang lahad....Tetapi, cubalah untuk menjadi seorang yang baik di dunia ini.

Ingatlah pesanan rakan handaimu yang membantumu dalam meniti waktu yang sukar dahulu dan masih bersamamu. Mereka sentiasa mendampingimu walau tidak berada dekat disisimu.


Sayang selalu. Jangan menangis lagi. Kamu adalah yang teristimewa, selamanya.

Untuk diriku.

Si penulis

Comments

Popular Posts