Surat cinta : Seni yang semakin pudar di era digital

"Surat cinta garapan aku sendiri. Sebuah luahan perasaan yang terbuku di hati yang ku lunaskan di atas pena dan kertas. Dengan harapan agar ku akan memiliki hati si dia. Ini adalah cerita benar diri ku beberapa bulan lepas, lah. Sekarang ianya hanya lah kenangan lalu tetapi cukup menggamit jiwa setiap kali aku melihat semula gambar ini. Gambar yang diambil sebelum surat cinta tersebut dilayangkan ke tangan si dia..."

Di dalam era digital ini, siapa diantara kenalan kamu yang masih lagi meniti jalan percintaan dengan kaedah sebegini? Boleh dijamin jawapannya adalah hampir 100% tidak. Mungkin aku terlalu pesimis, tetapi katakanlah tanggapan untuk peratusan itu adalah berteraskan sebuah majoriti.

Boleh jadi itulah statistiknya.

Surat cinta adalah sebuah medium luahan perasaan yang telah bertapak sejak manusia berevolusi natijahnya daripada hidup di belukar sebagai sekumpulan pemburu yang memburu,hinggalah ke sebuah nukilan peradaban dimana kemasyarakatan wujud bersama sebuah individualisme. Sebelum wujudnya lorongan media komunikasi massa moden yang menjadi capaian kepada setiap individu di seluruh pelusuk dunia ini, menulis surat cinta boleh dikatakan suatu cerminan individualiti kerana ianya merupakan penceritaan tentang perasaan seseorang insan terhadap seseorang yang lain dalam konteks yang menyentuh perihal intimasi dan emosi.

Garapan penulisan surat cinta juga biasanya terselit dengan nada romantis berpuitis, dan jika dibandingkan dengan konteks media sosial dan komunikasi massa kini, ianya lebih dengan maksud terpendam pada nukilan penulisannya berbanding luahan secara terang-terangan yang biasanya boleh dibuat di saluran media massa moden kini.

Romantiknya surat cinta, daripada perihal memikirkan mengarangnya dan menyusun sebuah puitis yang berteraskan kepada translasi sebuah perasaan dan emosi si penulisnya kepada yang dicintainya, adalah sebuah proses yang sukar sebenarnya. Mungkin itulah juga mengapa "seni" ini sudah semakin pupus ditelan arus peredaran masa, dimamah oleh kemodenan lorongan media seperti SMS, MMS, sosial media, sisipan tular dan sebagainya.

Mungkin aku ( yang menulis artikel ini ) adalah golongan orang lama', kerana dibesarkan ketikamana era teknologi IT dan digitalisasi di negara ini yang masih ketinggalan ataupun masih samar-samar sinarnya. Tetapi, tetaplah bagi aku, menulis, menggarap, mengarang sebuah puitis romantik yang akan menjadi cerminan untuk persepsi yang akan aku bawa ketika menongkah arus sebuah kehidupan percintaan bersama yang tercinta, adalah suatu ekspresi dunia nyata dan realiti yang tak mungkin dapat diungkap, dialami, serta dikecapi dan dinikmati perasaannya berbanding dengan sebuah luahan cinta di dunia siber kini.

Adakalanya ianya berakhir dengan kemanisan. Kadangkala penyudahnya hanyalah sebuah kesedihan. Tetapi bila garapan surat yang penuh emosi itu diterima oleh si dia dan menjadi suatu inspirasi untuk terus mengarang lirikan cinta, sehari-hari tidak tenang oleh kedua-dua insan yang berutusan perasaan masing-masing untuk luahan terpendam setiap yang terbuku di hati, menanti hari bersama di sisi.

Itu adalah sedikit sebanyak pengalaman manis aku yang masih menjiwai "seni" ini. Tetapi di kala zaman moden yang semakin canggih kini, surat cinta yang terlalu mengambil masa untuk dicoretkan sebagai perutusan cinta diantara insan mungkin sudah tidak relevan lagi.

Sekarang aku pun dah mula berhijrah dengan meluahkan perasaan cinta ataupun keminatan aku terhadap seseorang insan dengan hanya berpandukan platform media sosial saja. Senang.

Tetapi kalau ada yang aku akan kirakan sebagai pengalaman romantis yang paling mendewasakan seseorang, menulis surat cinta adalah salah satu daripada cabangnya.

Comments

Popular Posts