Gaya lumba era 80'an : 1985 Proton Saga Group 5 (Super Silhouette)



Proton Saga sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Sedia maklum sebagai model kereta pertama keluaran syarikat pengeluar kereta tempatan iaitu Perusahaan Otomobil Nasional atau Proton pada tahun 1985, Proton Saga masih lagi menyusuri jalan raya di negara kita ini.

Proton Saga generasi pertama. Kereta paling popular di Malaysia. Dimana saja anda pergi di Malaysia ini, pasti akan kelibat kereta ini.

Walaupun Proton Saga sudah melalui pembaharuan serta evolusi yang memasuki siri ke 3 model berkenaan untuk edisi model tahun 2016 yang masih dijual kini untuk pasaran tempatan, tetapi model asal yang dikeluarkan pada tahun 1985 bersama Mitsubishi  yang juga dikenali sebagai sebuah permulaan era pembuatan dan pengeluaran sektor automotif tempatan, masih dianggap popular hingga kini. Di dalam arena ubahsuai kereta tempatan pula, Proton Saga generasi pertama masih lagi boleh tahan popularnya seperti abangnya, Proton Wira.

Untuk perkongsian kali ini, seorang netizen yang kreatif telah memberikan nafas baru pada Proton Saga generasi pertama dengan mengenakan gaya "widebody" a la kereta lumba era 70'an-80'an, iaitu bertemakan "Group 5 Super Silhouette".


Untuk pengetahuan anda, kategori Group 5 adalah kelas tertinggi untuk perlumbaan kereta di bawah badan organisasi sukan bermotor dunia iaitu FIA pada tahun 70'an hingga awal 80'an. Pelbagai versi mentakrifkan peraturan serta syarat-syarat kelayakan bagi kemasukan pengeluar secara sah untuk bertanding di kategori elit tersebut, tetapi disini ianya berdasarkan versi terakhir kategori berkenaan iaitu Pindaan ke-empat, Special Production Car (Super Silhouette).

Nampak gagah kan dengan panel badan kembang serba baru ini? ini baru betul sebuah SAGA!


Dipendekkan cerita, kelas Super Silhouette kategori Group 5 membenarkan setiap kereta yang sah untuk bertanding di dalam pusingan kejohanan perlumbaan berkelendar untuk mengubahsuai sepenuhnya casis kenderaan tersebut termasuklah enjin untuk sesetengah acara tersendiri seperti kejohanan Interserie, Can-Am, Japan Touring Car Series, dan DRM untuk kejuaraan di benua Eropah. Untuk kesemua itu kereta tersebut hanya perlu mengekalkan cermin hadapan, pintu pemandu dan penumpang hadapan, serta dimensi dalaman kereta tersebut seperti yang terjual di jalanan. Selain daripada itu pengubahsuaian adalah bebas dan tertakluk kepada garisan kod seperti kelebaran panel kereta minimum dan maksimum serta kapasiti enjin untuk kemasukan kelas pertandingan.

Dan akibat daripada itu, pengeluar kereta sports pada era 70'an serta 80'an yang bertanding untuk kelas berkenaan mengenakan pengubahsuaian yang ekstensif selagi termampu. Panel badan kereta biasanya hanya mirip atau terlihat agak menyerupai model jalanan tetapi tiada langsung persamaannya secara harfiah. Inilah sebab ianya dipanggil "Silhouette" atau maksudnya "menyerupai, atau membayangi sesebuah objek".

Porsche 935-K4 tahun 1981 untuk kategori Group 5 oleh John Fitzpatrick Racing. Diilhamkan oleh model jalanan kereta sport Porsche yang cukup ikonik, iaitu model 911 (Nine-Eleven), model perlumbaan dengan kod nama 935 (Nine Three Five) ini hanya mengekalkan seksyen casis tengah daripada model jalanan 911. Selebihnya, untuk rekabentuk panel badan dan pintu adalah serba baru, bertujuan untuk "mengembangkan" dimensi kereta berkenaan sepenuhnya. Gaya panel badan agresif sebegini menjadi inspirasi kepada pengeluar lain dalam menjadikan kereta jalanan mereka untuk menjelma menjadi sebuah kereta lumba elit yang berlumba di kategori Group 5.

Kredit : Classicporschemag




Porsche, Nissan (dibawah divisyen Datsun ketika itu), BMW, Mercedes, Ford, Lancia, Ferrari, Fiat-Abarth, General Motors antara nama pengeluar besar dunia yang memeriahkan kategori perlumbaan ini sebelum kelas dan kategori Group 5 ini ditamatkan sepenuhnya untuk klasifikasi baru iaitu Group A, B dan C.



Dah tengok, dan terliur nak buat replika untuk resipi pengubahsuaian Proton Saga anda tahun hadapan? Mari kita tengok details nya secara lebih intim lagi, kelolaan oleh netizen ini.

In-details : Proton Saga Group 5 Super Silhouette



Banyak juga bahagian unik untuk projek ini. Berikut adalah beberapa bahagian unik yang menjadikan rekabentuk agresif Proton Saga berkonsepkan kereta lumba Group 5 ini:


A) Panel fascia hadapan. Pembinaan secara unibody, bersambung bersama panel sisi dan hood serta muka hadapan. Penambahan aerodinamik adalah NACA ducting dan louver di panel sisi.

B) Rim hadapan dengan sesaran saiz yang kecil di hadapan, sekitar 15 inci dipadankan dengan aero wheels beserta hub baru untuk penggunaan central lock.


C) Ekzos sisi. Dibuat untuk mengekstak lebih banyak kuasa kuda dengan memendekkan laluan gas ekzos untuk dilepaskan ke udara. Pendesak turbo adalah bonus.


D) Panel widebody belakang. Dibuat dengan mengambil pintu belakang sebagai base mock-up dan kemudiannya panel berkenaan bersambung sepenuhnya dengan panel sisi hingga ke bahagian bumper belakang. Lubang besar yang terbuka di sisi menempatkan heat exchanger untuk memastikan enjin kereta mampu bertahan dengan tekanan di kala perlumbaan.


E) Rim belakang bersaiz 19 inci untuk medapatkan geometri yang rendah dihadapan. Kerendahan di bahagian hadapan membolehkan rekabentuk panel fascia hadapan dibuat untuk menjadi lebih aerodinamik. Trend yang dimulakan oleh Porsche pada tahun 70'an dengan Porsche 935, dan teori "lower frontal end" menjadi kemestian dengan panel hadapan kereta yang bertanding untuk kelas berkenaan kebiasaannya dibuat supaya menjadi seakan-akan "penyek" ataupun melendut untuk memotong angin.


F) Sistem Quick-refill fuel filler. Dipindahkan ke pillar C atau D kerana bahagian penumpang telah diubahsuai menjadi aft bay, dimana kelengkapan plumbing untuk heat exchanger, tangki minyak yang diringankan serta lebih besar, sebahagian daripada kelengkapan elektronik untuk pemetaan enjin dan data receiver semuanya di belakang. Penyusunan sebegini juga memberikan pembahagian nisbah berat yang lebih strategik, serta kebolehubahsuaian ballast weight untuk memenuhi keperluan perlumbaan dari semasa ke semasa.

G) Sayap belakang. Dibentuk secara strategik untuk penambahan grip pada kereta, serta dipasang secara bolt-on secara terus ke casis belakang, supaya sayap belakang berkenaan menjadi salah satu daripada "stressed-member" kepada keseluruhan aspek casis.



Itu baru sebahagian daripada details yang dah dibuat. Menurut netizen berkenaan, visualisasi berkenaan akan menjadi lebih daripada rekaan luaran yang agresif tersebut. Beliau berminat nak melihat "raksasa" berkenaan berlumba di Saga Superturismo Cup, iaitu inisiatif daripada Sepang International Circuit (SIC) untuk menggalakkan penyertaan oleh pelumba tempatan di dalam arena grassroot level championship pada kos yang lebih mampu milik serta kompetitif.





MSF Superturismo Proton Saga Cup edisi tahun 2019 di litar SIC Sepang. Grid penyertaan sememangnya cukup meriah!

kredit gambar: Motonation


Jadi, ada bakal-bakal "racer" yang nak berlumba dalam Saga Cup  SIC ke tahun depan? Berminat nak tampil dengan Saga yang penuh kelainan a la kereta lumba yang "period correct" seperti yang diterampilkan oleh netizen ini? Kalau ya, boleh cuba mesej beliau untuk sebarang JV atau enquiry.










Comments

Popular Posts