Pendapat | Opinion : Diantara kegusaran bajet nasional atau kepentingan awam ? Hak kami ?



Untuk kebanyakan pengamal warga perubatan dan kesihatan di Malaysia, sektor kedoktoran kini hingar dan kecoh akibat pemotongan elaun kritikal untuk kemasukan doktor baru dalam sektor tersebut. Ini menyebabkan warga Malaysia, khususnya pelajar-pelajar muda yang gigih menuntut ilmu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti warga kerja sektor tersebut, terpaksa menghadapi cabaran yang amat getir, disebabkan tuntutan kerja melebihi masa yang tidak akan diberikan elaun selepas ini.

Sehingga kini, ianya menimbulkan kemarahan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada netizen serta individu yang terlibat secara langsung di dalam sektor pekerjaan berkenaan. Ini amat menyedihkan kerana tatkala negara kita disenaraikan sebagai sebuah negara terbaik dalam"medical tourism" di tangga tertinggi atas faktor perkhidmatan, kepakaran, fasiliti dan bayaran rawatan kritikal yang berpatutan dan mampu milik terutamanya daripada hospital awam, doktor yang bertugas untuk memenuhi permintaan sektor industri berkenaan pula sebaliknya. Mereka dikatakan sering bekerja melebihi masa sehingga kekurangan waktu rehat untuk diri sendiri, serta penolakan pengambilan doktor baru untuk memenuhi kekosongan yang amat diperlukan oleh sektor industri berkenaan pula dikelaskan sebagai "lambakan" oleh kementerian berwajib.

Ini menimbulkan suatu persoalan disebalik sebuah sosioekonomi. Mengapa perkara sedemikian "dikatakan" sebagai langkah yang kritikal oleh kerajaan, dimana mereka mahu meneruskan agenda untuk mengurangkan bayaran serta pakej ransangan mahupun insentif berkait untuk kemasukan doktor pelatih baru.

Jikalau dilihat daripada sistem pakej kesihatan rakyat yang dikelolakan oleh fiskal kerajaan, kerajaan kita amatlah berkiblatkan arah kebajikan daripada mengutamakan sebuah ekonomi neoliberalism yang lebih berdaya saing, sekurangnya untuk sektor ini, iaitu sektor kesihatan. Subsidi kerajaan Malaysia untuk sektor kesihatan dan perubatan adalah sebanyak hampir 5% daripada pendapatan nasional, dan pembahagian subsidi keseluruhan diantara industri swasta dan kerajaan masing-masing diantara 2.4% dan 2.2%.

Untuk sektor kesihatan dan perubatan awam, pakej subsidi merangkumi 99% daripada jumlah keseluruhan rawatan dimana pesakit hanya perlu membayar lebihan 1% sahaja daripada bil perubatan mereka. Situasi dan polisi berteraskan kebajikan kesihatan sememangnya menjadikan Malaysia antara negara yang terbaik untuk mendapatkan rawatan kritikal pada harga yang dianggarkan amat berpatutan pada standard industri, jika dibandingkan dengan polisi negara barat terutamanya seperti yang diterapkan di Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat, menjadi seorang yang mengalami masalah kesihatan yang kritikal bermakna sebuah harga yang amat tinggi harus dibayar pada pengamal industi berkenaan, akibat industri kesihatan disana yang amat kritikal pada penswastaan, demi menggalakkan penyelidikan berkelas dunia untuk industri kesihatan terus diusahakan sebagai salah sebuah daripada penggerak ekonomi terutama negara. Ini disebabkan negara Uncle Sam' berkenaan tidak menyediakan plan kesihatan universal untuk rakyatnya sepertimana kebanyakan negara lain, tetapi skim kesihatan dibuat melalui pakej insurans, dan industri hospital. Kurangnya subsidi menyeluruh untuk pakej kesihatan mampu milik terpaksa dilaksanakan diatas kepentingan menjanakan industri insurans dan sektor penyelidikan tinggi seperti biomedikal swasta, yang dilihat sebagai kepentingan pendapatan negara secara berterusan. Ianya juga dilihat sebagai langkah yang lebih berkesan untuk menggalakkan insentif yang akan menarik minat syarikat korporat untuk melabur lebih banyak terhadap industri penyelidikan sains berteraskan industri biofarmaseutikal, sekaligus merancakkan ekonomi pelbagai industri berkait diantara sektor tersebut dengan kesengsaraan bil perubatan yang tinggi bagi setiap individu menjadi galang gantinya.

Akibat daripada rentetan polisi ekonomi yang liberal tersebut, pakej kesihatan individu di Amerika Syarikat adalah antara yang paling teruk di dunia walaupun penyelidikan berimpak tinggi yang memanfaatkan industri kesihatan dan perubatan kini banyak ditemui dan dirintis di sana. Untuk pengetahuan, liberalisasi sektor kesihatan di Amerika Syarikat juga menjadikan mereka sebagai negara yang mengetuai usaha penyelidikan sektor biomedikal dengan 46% kajian bertaraf global dilakukan, serta dibiayai disana, menurut sebuah data oleh UNESCO pada tahun 2015.

Dasar liberalisasi ekonomi untuk sektor kesihatan akhirnya menyusahkan rakyat negara berkenaan untuk mendapatkan akses ke program serta pakej kesihatan umum mampu milik adalah akibat daripada menjaga kepentingan industri biomedikal yang diketuai oleh syarikat persendirian dan swasta. Faktor sperti kos penyelidikan berimpak tinggi dan kolaborasi antara pengendali makmal serta diantara universiti di kalangan pemain industri juga menyebabkan kos penyelidikan untuk sektor perubatan akhirnya menjadi sangat mahal buat rakyat Amerika, kerana dasar kerajaan yang lebih tertakluk kepada menjaga kepentingan syarikat korporat yang masih mahu bergiat aktif di dalam sektor industri berkenaan.

Jika dilihat perbandingannya dengan Malaysia, kerajaan kita masih percaya bahawa rakyat yang sihat adalah aset pemangkin penggerak ekonomi negara. Disebabkan sedemikianlah usaha untuk terus memberikan subsidi di dalam sektor kesihatan dan perubatan menjadi agenda terutama untuk kerajaan, agar akses untuk mendapatkan panel perubatan serta kesihatan buat setiap individu lebih mampu milik serta berkualiti. Tetapi sejauh manakah subsidi tersebut harus diteruskan tatkala kos ubat-ubatan yang diimport serta peralatan sektor kedoktoran menjadi semakin mahal, dan unjuran ekonomi serta inflasi yang semakin hari hanya semakin mengembung ekoran percambahan rakyat di negara ini tidak bergerak selari dengan kempen kesedaran penyakit yang mampu dielak (preventable disease), justeru secara tidak langsung menambahkan jumlah pesakit di wad-wad hospital serata negara.

Dengan ekonomi negara yang kini agak terumbang-ambing diatas dasar fiskal konservatif polisi monetari yang lebih menjurus kepada menyelesaikan hutang berbanding melihat pada pelaburan jangka masa panjang dengan program stimulus atau fiskal yang lebih progresif, pemotongan bajet untuk sektor profession kedoktoran yang melibatkan kebajikan terhadap pengamal profession berkenaan pada masa depan menjadi sasaran.

Ada yang berpendapat bahawa ianya tidak akan menjadi masalah sekiranya plan rasionalisasi subsidi digunakan untuk mengekang masalah berkenaan. Contohnya dengan mengurangkan peratusan subsidi yang sedia digunapakai kini untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan dalam sektor berkenaan, dan timbang tara diantara pengurangan subsidi terhadap rakyat dalam akses sektor kesihatan boleh diimbangkan untuk menjamin kebajikan kemasukan tenaga pekerja tidak dilupuskan begitu saja.

Dengan anggaran bahawa "jumlah ideal" dan "sepatutnya" bagi setiap doktor di Malaysia ini yang diterjemah dengan ratio 1:600 hingga ke 1:400 bagi Kementerian Kesihatan pada plan rasionalisasi mengenai pembekuan pengambilan tenaga kerja baru didalam sektor berkenaan, adakah profession berkenaan sememangnya terpaksa menerima segala pemotongan bajet dan pembekuan kemasukan baru? Mungkinkah bajet defisit kewangan negara menjadi rasional untuk kerajaan serta pihak monetari mereka merangka bahawa "pelaburan" untuk industri kesihatan dan pakej kesejahteraan rakyat yang dirasionalisasikan melalui pemberian subsidi kini terlalu banyak untuk sebuah pulangan yang sedikit untuk negara secara khusus?

Akses bagi setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan perubatan mampu milik dan berpatutan serta berkualiti adalah sebuah tuntutan yang penting buat jutaan rakyat terhadap kerajaannya. Jika unjuran fiskal sedia ada tidak dapat menampung kos pembahagian subsidi daripada bajet tahunan yang dirancang, seharusnya disediakan plan monetari atau fiskal yang lebih berdaya saing untuk mengekalkan kualiti sektor dan industri kesihatan yang sedia ada kini. Mungkin ada serapan kos daripada sektor kunci utama lain yang mampu menyeimbangi serapan kos subsidi yang sedia ada kini untuk mengekalkan kualiti serta prestasi industri kesihatan yang dikecapi negara kini. Kedudukan negara kita sebagai antara hos terbaik untuk "medical tourism" juga nyata memberi pulangan kepada pelaburan kerajaan dalam industri ini, secara langsung atau tidak langsung.

Melabur untuk kebajikan rakyat dan setiap yang terlibat dalamnya seharusnya dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi untuk menjadi stimulus dan cakna kepada sumber pelaburan lain negara. Rakyat yang sihat adalah aset untuk jaminan tenaga kerja, yang mana nilainya sentiasa memberikan pulangan secara langsung atau tidak langsung kepada kesejahteraan negara.

Rujukan / Pautan :
https://www.malaysiakini.com/news/504821

https://www.thestar.com.my/opinion/letters/2019/04/08/patients-free-to-choose-paying-service


https://unesdoc.unesco.org/ark:/48223/pf0000235406


https://www.nst.com.my/news/2016/03/130577/there-are-never-too-many-doctors

https://www.mhtc.org.my/


P/S: Artikel ini sekadar pendapat peribadi penulis sahaja. Para pembaca mungkin mendapati konteksnya tidak sehaluan dengan pendapat mereka, dan lain-lain. Budi bicara dinasihatkan sebelum menilai idea dan pendapat yang disiarkan ini.



Comments

Popular Posts