Terjah Fesyen : Shoulder Pad, Yay or Nay?
Kalau anda yang membesar sebagai kanak-kanak 80'an atau 90'an tentu saja pernah terselak almari mak ayah anda dan menjumpai sebahagian besar daripada "power jacket" mereka ke tempat kerja mesti ada lapisan span yang besar dan tebal. Apa itu?
Haaa....Itu lah dia 'Shoulder Pad". Sebuah trend yang kini kembali menggilai fashion circuit antarabangsa selepas trend tersebut pudar dan suam-suam kuku sekitar tahun akhir 90'an hinggalah menjelangnya Y2K. (Tahun 2000 ataupun Year 2000)
![]() |
Tahun 90'an lebih kepada gaya urban outfitter dan lebih kontemporari serta bersahaja dalam penampilannya. Dikatakan koleksi 90'an adalah hasil daripada kultur muzik grunge yang menjadi kegilaan anak muda ketika itu. |
Tapi, untuk lebih menerjah kedalam trend bahu besar dan tinggi ini, sememangnya kena dirujuk pada aliran trend-nya pada tahun 80'an. Kegilaan fesyen dengan shoulder pad besar dan tinggi bagaikan baju perisai pemain NFL Amerika (Football buat mereka, Rugby bagi seantero dunia) mula dipelopori di dekad tersebut.
Tahun 1983-85. Amerika Syarikat. Inflasi berada di tahap yang meningkat, ketikamana Reaganomics' terus menerjah ke arah bull market. Pasaran saham di tahap euphoria, kasino sentiasa terbuka, limpahan greenback terus mencurah tanpa henti. Sememangnya ianya sesuatu yang dikelaskan sebagai "Me Decade", dimana individualiti untuk sebuah kekayaan ketika masih muda-mudi bagaikan kewajipan yang harus dipertontonkan. Dan jika pentas fesyen adalah arena untuk menjadi paling terserlah, apa lagi kalau bukan dengan pakej "Mega"?
"Mega" yang dimaksudkan itu adalah sebuah over-statement. Ya, dengan menonjolkan sosok badan melalui shoulder pad yang besar dan tinggi. Pada suatu ketika di kala pertengahan 80'an, shoulder pad yang tinggi dan tampak tegap menjadi sebuah hierarki dalam persaingan dunia korporat. Lagi tinggi pangkat yang dimiliki dalam C-Suite, makin menjadi-jadi "besar" dan "tinggi" shoulder pad mereka. Ianya bagaikan sebuah norma untuk imej dunia anak muda yang bernadikan rasa dahaga mengejar karier di syarikat multi-nasional, dan juga untuk mereka yang gelojoh berjudi pasaran saham di negara Uncle Sam yang ketika itu mengecapi euphoria bagaikan limpahan kekayaan tidak akan berakhir.
Tapi kegilaan bahu tinggi tersebut bukan lah istimewa untuk pasaran majalah fesyen antarabangsa seperti Vogue dan Bazaar Harper saja. Malah di Malaysia pun tidak terkecuali. Kalau leotard adalah imej wanita aktif dan sihat ketika zaman tersebut, pemakaian blazer dengan shoulder pad tinggi mencanak adalah simbol kejayaan jika anda menjawat jawatan tinggi di arena korporat dan industri swasta. Baik lelaki dan perempuan sama saja tidak terkecuali. Masing-masing tak nak kalah dengan bahu yang semakin "berkotak" dan makin tinggi.
Mungkin tak semua meminati gaya terlebih "showy" sepertimana shoulder pad ini. Dan bagaikan dunia saham yang jatuh akibat Black Friday, begitu jugalah trend shoulder pad ini. Kegilaan terhadap gaya dan koleksi fesyen yang menjurus kearah "Makin Tinggi Makin Bagus" untuk trendspotting shoulder pad akhirnya pudar di Amerika menjelang pertengahan 90'an. Tapi saki-baki kegilaannya dalam peringkat global masih agak dirasai, terutamanya di Malaysia. Mungkin sebab genre Rock Kapak kot......(Tak percaya tengoklah gaya glam rock mereka ketika tahun 90'an. Masih lagi bertemakan shoulder pad dengan hairspray a la kumpulan Cinderella dan Alice Cooper pada dekad yang sama hahaha)
Biasalah dunia fesyen, ada naik dan turun. Tapi bagi penulis, sememangnya penerimaan trend shoulder pad yang kini mula menjadi tema koleksi pertunjukan fesyen haute couture yang dibintangi oleh nama-nama yang pernah memperkenalkan dan mengangkat trend ini ke letusan popularitinya pada tahun 80'an seperti Yves Saint Lauren (YSL), dan Jean-Paul Gaultier adalah sebuah kebagusan.
Mengapa?
Sebab penulis punya minat lah. Apa lagi nak dikata.....
P/S: Suka tengok perempuan korporat menggayakan gaya shoulder pad a la lelaki maskulin....Mohon jangan dipandang pelik pulak ahahaha!
Comments
Post a Comment